Followers

Monday, November 1, 2010

AndaSuka...Kiwi kiut miut...

Kiwi mini sebesar ibu jari

 
FOTO menunjukkan perbezaan saiz antara buah kiwi biasa (kiri) dan buah kiwi mini.


BUAH kiwi mini kini semakin diminati ramai sekali gus membantu menjana pendapatan lumayan bagi petani petani di Perancis. Lebih kecil berbanding limau kumkuat, kiwi mini cuma sebesar ibu jari manusia dan mempunyai kulit lembut seperti tomato. Bagaimanapun tidak seperti kulit kiwi biasa yang berbulu dan keperangan, kulit kiwi mini berwarna hijau. Buah yang jarang didapati itu hidup subur di dusun-dusun sekitar Sungai Adour, di barat daya Perancis. Walaupun bersaiz kecil, kiwi mini lebih manis dan lazat berbanding kiwi biasa.

Buah itu juga boleh dimakan bersama kulitnya kerana tidak perlu dikupas seperti kiwi biasa. Keunikan kiwi mini membolehkan, buah itu memenangi anugerah inovasi Pameran Industri Buah & Sayuran Antarabangsa (SIFEL) di Bordeaux, Perancis. "Anda tidak akan perasan bahawa ia adalah buah kiwi sehinggalah anda memotongnya," kata Pengurus Pembangunan Produk Baru Koperasi Kiwi SOFRUILEG, Fabien Bec.
Koperasi berkenaan memiliki hak pengedaran buah itu di Eropah. Ia merancang meluaskan ladang kiwi mininya dari tujuh hektar kepada 500 hektar menjelang 2016 dengan sasaran pengeluaran mencecah 10,000 tan setahun.

Setakat ini, seramai 250 petani menghasilkan 13,000 tan kiwi biasa di Perancis yang merupakan pengeluar buah kiwi kelima terbesar di dunia. Namun, kata Bec, pihaknya mempunyai rancangan tersendiri dan lebih besar untuk buah kecil itu. Koperasi berkenaan mahu bersaing di pasaran antarabangsa dengan membuka dusun-susun kiwi mini di Belanda, barat daya England dan utara Portugal. "Di Eropah, kami mempunyai iklim berbeza-beza yang dapat membantu buah tersebut berada di pasaran bagi tempoh yang lebih lama," kata Bec.

Menurutnya, pasar raya memerlukan bekalan yang mencukupi sebelum sesuatu produk baru dapat dilancarkan secara efektif. "Objektif pertama kami adalah untuk melengkapkan petani-petani dalam koperasi kami. Namun, kami juga berwawasan untuk melebarkan sayap ke Eropah," tambahnya. Menurut pengurus berkenaan, pengeluaran buah itu secara kecil-kecilan buat masa ini berjaya menarik minat kalangan pengusaha makanan seperti cef dan pemborong termasuk sebuah pasar makanan segar di pinggir Paris, yang dikenali sebagai Rungis.

Ibarat snek

Produk tersebut bukan sahaja meluaskan perniagaan koperasi tersebut tetapi beberapa kaji selidik pasaran menunjukkan buah kiwi mini itu juga bakal meningkatkan permintaan untuk buah kiwi. Kiwi mini menarik perhatian pengguna dan tabiat pemakanan buah berkenaan berbeza dengan buah kiwi biasa. "Ia merupakan sejenis produk snek. Ia juga dijual pada harga yang berbeza dan menarik untuk pengguna seperti kita," kata Bec. Buah kiwi mini itu dijual dalam bekas plastik leper seperti pek buah beri biru dan rasberi. Buah-buah kiwi mini dibungkus di dalam bekas kotak seberat 125 gram dan akan dijual pada harga antara dua euro (RM6.84) dan tiga euro (RM12.74).

Namun, kulit hijau buah kiwi mini itu bakal menimbulkan persoalan di kalangan pengguna. Jika kulitnya bukan keperangan, adakah ia buah kiwi? Bagaimanapun, tegas Bec, walaupun bukan berwarna keperang-perangan, ia adalah buah kiwi yang sebenar. "Ia bukan sejenis buah yang diubah suai secara genetik. Kiwi mini ialah buah semula jadi. Ia telah lama wujud. Kami gemarkan rasanya yang lebih manis tetapi terdapat terlalu banyak buah (kiwi mini) pada setiap tangkai dan ia mengambil masa terlalu lama untuk dipetik selain sukar untuk dibungkus kerana ia terlalu lembut serta mudah rosak. Keadaan itu berlaku 25 tahun dahulu," katanya.


ANDA hanya akan tahu buah ini ialah buah kiwi selepas membelahnya.


"Keadaan itu sangat mengecewakan kerana kami tahu kami mempunyai sejenis buah yang sangat baik sejak dahulu lagi." Lebih baik daripada beri Buah kiwi mini yang ditanam koperasi tersebut merupakan kiwi mini jenis baru yang dikenali sebagai Actinidia arguta. Penyelidikan untuk meningkatkan daya ketahanan buah itu dilakukan oleh pusat Kajian Tumbuhan dan Makanan New Zealand.

Actinidia arguta dimajukan bagi menjadikan buah itu tahan lama dengan jangka hayat mencecah 45-90 hari pada suhu bilik. "Di dunia ini, buah beri merupakan produk yang sangat menarik. Tetapi kiwi mini mempunyai daya ketahanan lebih tinggi daripadanya," kata Bec.
Menurutnya, buah kiwi mini itu boleh meningkatkan sumber ekonomi dan mengekalkan kelestarian alam sekitar di rantau itu. Petani-petani koperasi tersebut lazimnya menternak itik dan menanam jagung serta buah kiwi. 

Selain itu, mereka turut menanam epal tetapi disebabkan pasarannya mula menjunam kebanyakan petani termasuk Jean Louis Tissier, pemilik ladang Verger de l'Hermitage memilih untuk menanam buah kiwi mini. "Ia adalah buah baru. Kami akan cuba menanamnya. Anda perlu menjaga rapi buah kiwi mini itu supaya ia mendapat sambutan yang lebih baik daripada epal," kata Tissier ketika dia berjalan melalui ladangnya yang masih baru itu. "Seperti buah kiwi lain di wilayah ini, kami tidak menggunakan racun serangga dan kulat perosak memandangkan buah buah ini dimakan bersama kulitnya," kata Bec. Sebahagian petani menyatakan mereka akan menanam pokok kiwi mini dengan menggunakan baja organik sepenuhnya. - AFP

Sumber: Kosmo!

P/s: Sedapnye...eskrem kiwi sangat sedaapppp....


3 comments:

kasih suci said...

saya suka makan buah kiwi...hehehe

nurfi said...
This comment has been removed by the author.
nurfi said...

saya sdah mncoba utk menanam buah kiwi d rmah. lalu brapa lama wktu yg hrus dbutuhkan mulai benih tsb tumbuh hingga utk memindahkan ke dlm pot????

Entry terkini...

LinkWithin