Followers

Friday, November 19, 2010

AndaSuka...Lalat pasir penyebab cutaneous leishmaniasis (CL)

Kabul ibu negara dunia CL




SAMBIL duduk bertinggung di bawah sepohon pokok, Abdul Rauf Karzai, 63, menanti dengan sabar untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik awam di Kabul, Afghanistan. Kelihatan kedua-dua belah tangan lelaki berkopiah itu dipenuhi lubang-lubang luka. Sekali pandang ia memang menakutkan. Tetapi, itulah penyakit cutaneous leishmaniasis (CL) yang dihidapi oleh lelaki tersebut.

Selain Abdul Rauf, masih ramai lagi individu senasib dengannya menunggu di luar klinik tersebut untuk bertemu doktor yang akan merawat mereka termasuk beberapa kanak-kanak. Wabak penyakit tropika akibat gigitan lalat pasir atau agas dan menyebabkan luka teruk serta rasa sakit pada kulit itu telah lama melanda Afghanistan. Bahkan, puluhan ribu rakyatnya telah dijangkiti penyakit tersebut. Ia adalah sejenis penyakit parasit yang disebarkan oleh lalat pasir betina atau phlebotomine. Serangga sepanjang dua hingga tiga milimeter itu memerlukan darah manusia atau haiwan untuk membolehkannya membiak.

Penyakit itu bagaimanapun boleh dirawat dengan ubat-ubatan dan tidak membahayakan nyawa. Namun, ia akan meninggalkan kudis luka yang parah pada kulit mangsa.



Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), penyakit itu mengancam 13 juta penduduk di Afghanistan dan ramai penghidapnya terdiri di kalangan orang miskin kerana mereka tidak mampu membayar rawatan bil perubatan. Malah, ibu negara Afghanistan, Kabul digelar oleh WHO sebagai ibu negara dunia cutaneous leishmaniasis dengan peningkatan kes penyakit tersebut. Dianggarkan sebanyak 17,000 kes penyakit itu dilaporkan setahun pada awal tahun 2000 kepada 65,000 kes pada tahun 2009.

Kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak kerana kebanyakan mereka tinggal di dalam bilik pada waktu malam yang menjadi tempat kegemaran lalat pasir. Sebaliknya, golongan lelakinya pula akan berada di luar rumah untuk bekerja dan mencari rezeki bagi menampung kehidupan berkeluarga. Wakil WHO ke Afghanistan, Peter Graaff berkata, stigma dan perasaan malu yang timbul dalam diri mangsa disebabkan penyakit itu menyebabkan ramai yang enggan merujuk doktor. 

Perkara itu mungkin menjadikan jumlah sebenar mangsa yang dijangkiti jauh lebih tinggi daripada statistik yang dikeluarkan WHO. “Jumlah ini boleh dianggap seperti sebahagian kecil bongkah ais yang dilihat di lautan. Nampak sedikit dari atas tetapi hakikatnya terlalu besar di bahagian bawahnya. “Begitu juga pada kes-kes yang tidak dilaporkan lantaran rasa malu mencengkam diri,” ujar Graaff sambil menambah seramai 63 orang telah dijangkiti sejak Ogos lalu di sebuah perkampungan kecil di daerah Kohsan di wilayah barat Herat.

Membiak pantas

Bagaimanapun, sebab kepada jangkitan tersebut tidak diketahui. Sepasukan pegawai WHO telah dihantar ke sana untuk menyiasat punca sebenar penyakit itu. Lalat pasir membiak bermula dari bulan Jun hingga September. Walaupun penggunaan kelambu dapat menghalang daripada digigit serangga kecil itu, tetapi ia tetap dapat membiak dengan pantas dalam keadaan yang kotor seperti di kawasan longgokan sampah sarap.

PESAKIT akan diberi rawatan berupa suntikan SSG di bahagian yang berkudis beberapa kali sehingga sembuh.


Apabila luka yang menodai kulit semakin membesar, ia menyebabkan muka pesakit menjadi hodoh. Kesannya, ramai mangsa menderita stigma sosial. “Kos rawatan yang tinggi menyebabkan kami sukar untuk mengintegrasi ubat antileishmaniasis. 

“Penyakit ini menyebabkan ramai rakyat Afghanistan menderita sesuatu yang keterlaluan,” tegas Menteri Kesihatan Awam Afghanistan, Dr. Suraya Dalil sambil menggesa pihak tertentu memberi sumbangan bagi membiayai rawatan mereka yang memerlukan. Berdasarkan statistik WHO, seramai 12 juta penduduk di seluruh dunia telah dijangkiti wabak tersebut dengan anggaran satu hingga dua juta kes setahun.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, walaupun wabak itu telah melanda banyak negara lain di dunia, tetapi Malaysia bebas daripada dijangkiti penyakit tersebut.

Warga asing

“Setakat ini, penyakit yang disebabkan gigitan lalat pasir itu boleh dikatakan kes terpencil kerana tiada rekod yang menunjukkan rakyat tempatan pernah menghidapnya. “Cuma, tidak dinafikan bahawa vektor yang membawa penyakit itu tetap ada. Jadi, kita masih perlu berhati-jati terhadap kemungkinan yang akan berlaku disebabkan penyakit itu,” ujar Lokman Hakim ketika dihubungi Kosmo!.

Bagaimanapun, pihaknya ada menerima laporan satu atau dua kes yang melibatkan warga asing yang menghidap penyakit CL tetapi ia tidak begitu serius. Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Kawalan Penyakit pada tahun 2004, masalah gangguan agas di Malaysia bukanlah satu perkara baru. Serangga itu telah lama diketahui menjadi punca masalah di beberapa kawasan terutama di kawasan pantai, paya, belukar, hutan dan kawasan yang lembab dan berair termasuk kawasan-kawasan tepi sungai.

Para petani, pemancing ikan dan penduduk kampung sudah lali dengan gangguan agas dan menganggapnya sebagai perkara biasa. Di Kuantan, nama Tanjung Agas juga dikaitkan dengan kehadiran agas sejak berkurun yang lampau dan sudah sebati dengan penduduk di situ.

Jejas pelancongan
Masalah gangguan agas timbul dan mula menarik perhatian serta menjadi isu besar apabila gangguan agas yang serius berlaku kepada pelancong-pelancong yang berkunjung ke pulau-pulau peranginan di daerah Mersing, Johor sehingga menjejaskan industri pelancongan di kawasan terbabit.

KANAK-KANAK ini dibawa oleh bapanya mendapatkan rawatan di salah sebuah klinik di Kabul.


Perkara itu telah dibangkitkan pada mesyuarat Kabinet awal tahun 2002. Pada masa itu, ia menjadi perhatian pelbagai agensi dan kementerian seperti Kementerian Pertanian dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (kini kementerian itu diasingkan kepada dua iaitu Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Kementerian Kesihatan. pula telah dipertanggungjawabkan untuk mencari jalan ke arah penyelesaian masalah itu.
 
Berikutan itu arahan telah dikeluarkan supaya kajian-kajian dilaksanakan dan garis panduan dikeluarkan bagi mengatasi masalah ini. Institut Penyelidikan Perubatan telah diarahkan menjalankan kajian-kajian berkaitan agas dan hasil laporan kajian akan diguna-pakai dan dijadikan rujukan bagi menggariskan kaedah-kaedah kawalan dan pencegahan dalam usaha penyediaan garis panduan oleh Cawangan Penyakit Bawaan Vektor, Kementerian Kesihatan Malaysia.
 
sumber: kosmo!
 
P/s: bahaya betol...harap penyakit ni tak menjadi pandemik la...sebab tu la pentingnya saringan kesihatan untuk warga asing yg datang ke negara kita...untuk mengelakkan wabak macam ni merebak serata dunia...happy 100 post...eheh...dah 100 rupenye post aku...lembab betol..org laen dah ribu-ribu kot... 

1 comment:

Khumaera Ismail said...

huhu~takutnye..lalat pun lberbahaya..ingtkn sakit taun je depa leh bw..huhu~

Entry terkini...

LinkWithin