KANAK-KANAK pintar, Ainan Celeste Cawley, 10, terkenang pengalamannya dua tahun yang lalu. Pada waktu itu dia sedang bermain dodge ball yang melibatkan pembalingan sebiji bola di antara dua kumpulan. Pemain dikira menang jika semua anggota kumpulan lawan terkena bola itu. Ainan menyukai permainan itu. Namun, pengalamannya lebih daripada keseronokan berkejar-kejaran dan bersosial dengan teman sebaya. Sebaliknya, setiap kali bola itu dibaling, anak sulung pasangan Valentine dan Syahidah Cawley itu dapat melihat jajaran berwarna di depan dan belakang bola itu.
Kelebihan itu membuatkan Ainan lebih seronok bermain. Jika orang lain melarikan diri daripada bola yang dibaling, Ainan sebaliknya melarikan diri daripada jajaran warna tersebut. Berikutan pengalaman itu, Ainan mendapati sebarang objek yang bergerak pantas akan mengeluarkan jajaran berwarna itu. Tiada warna terhasil daripada objek yang bergerak perlahan. Semakin laju pergerakan objek itu, semakin panjang jajaran berwarna tersebut.
Pada peringkat itu, warna kekuningan dan berunsur oren lebih banyak menghiasi pandangan Ainan. Lebih-lebih lagi daripada objek yang bergerak menggunakan tenaga yang dijana manusia. Bagi pergerakan seperti bola tenis yang dipukul dengan raket pula, bolanya diikuti jajaran berwarna yang lebih terang.
“Saya bersyukur kerana ia membuatkan kehidupan saya lebih berwarna-warni,” ujar Ainan yang sebenarnya mengalami
sinestesia pelbagai yang melibatkan persilangan fungsi antara dua atau lebih deria.
Antara tokoh terkemuka yang dilaporkan mengalami
sinestesia ialah cendekiawan Leonardo Da Vinci, ahli fizik Richard P. Feynman, penulis Vladimir Nabokov, penyair Boudelaire dan penyanyi Tori Amos. Ainan yang kini mengikuti pengajian Sarjana Muda Amerika di Kolej Universiti HELP, Kuala Lumpur memberitahu kemudian bapanya tentang apa yang dialami. Selepas itu, Ainan dan bapanya, pensyarah kanan Jabatan Psikologi Kolej Universiti HELP, membuat uji kaji bersiri yang berkaitan untuk menjelaskan situasi itu.
Bola
|
SEBELUM ini Ainan dapat melihat warna terhasil daripada suara-suara di sekelilingnya. |
Disebabkan mereka tidak mempunyai dana untuk membeli peralatan canggih bagi menguji keadaan itu, mereka menggunakan tiga bola tenis warna kuning, sebatang kapur tulis, pen, buku nota, bangunan 10 tingkat dan pita pengukur untuk mendapatkan bacaan dan membuat perbandingan.
Valentine membaling bola-bola itu dari aras sembilan bangunan dan Ainan memerhatikan pergerakan bola itu pada satu jarak. Valentine kemudian turun ke aras lebih bawah dan membaling bola dari kedudukan itu pula. Ujian diteruskan dengan mengulang proses yang sama pada ketinggian yang berbeza.
Hasilnya, mereka mendapati warna yang berbeza terhasil daripada kelajuan yang sama pada sudut pandangan yang berlainan.
“Hasil kajian kami itu menunjukkan kelajuan juga mempunyai kod warna,” jelas Valentine.
Jika selama ini kelajuan hanya dapat ditafsirkan melalui formula sesaran bahagi masa, Ainan dapat menilainya melalui kod warna. Biarpun turut teruja dengan penemuan itu, Valentine sendiri tidak dapat melihat warna-warna itu.
“Buat masa ini hanya Ainan yang dapat melihatnya. Mungkin ada lagi orang lain di luar sana mengalami perkara yang sama tetapi tidak menyedari ia sebagai satu kelebihan.
“Selama ini pun Ainan mempunyai kelebihan untuk melihat warna pada bunyi seperti suara. Jadi keadaan seperti ini sudah biasa baginya.
“Penemuan ini kami namakan sebagai Velociperception,” umum Valentine dengan menyimpulkan Ainan saintis termuda yang berjaya membuat penemuan saintifik dalam psikologi manusia di seluruh dunia.
Kertas kerja saintifik tentang penemuan itu yang ditulis bersama Valentine dan Ainan turut diterbitkan dalam jurnal Philica di http://philica.com.