Derita tidur narkolepsi
“SIAP satu muka surat, dia tertidur, siap satu muka surat, dia tertidur lagi. Selepas 15 minit tertidur, baru saya kejutkannya supaya menyambung semula kerja sekolah yang dibuatnya tadi. “Kadang-kadang tengah makan pun dia boleh tertidur di meja makan,” ujar ibu kepada Melinda Tan Ming Hui, 12, tentang anaknya itu yang menghidap penyakit kerap tidur yang dikenali sebagai narkolepsi.
Melinda merupakan murid cemerlang yang mendapat 7A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini walaupun menderitai penyakit pelik itu. Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ping Ming, Melaka itu diceritakan ibunya akan tertidur setiap dua jam pada waktu siang. Ada masanya, 10 minit sekali dia boleh terlelap. Apabila malam, untuk masuk tidur, dia boleh melelapkan mata dengan pantas iaitu dalam masa lima minit.
Simptom Beberapa minit kemudian, lelapnya sudah mencapai tahap lena. Selepas satu jam tidur, Melinda akan mengalami mimpi seram, mengingau lalu menjerit. Menurut ibunya, Irene Tan, Melinda pada asalnya tidak begitu. Malah, dia seorang yang sangat suka belajar.
Masalah itu hanya dialami bermula tahun lalu semasa kanak-kanak itu berada dalam tahun 5. “Saya tidak pasti bagaimana ia bermula kerana ia berlaku secara tiba-tiba. Cikgunya kata dia malas sebab kerap tidur di dalam kelas. “Mula-mula saya fikir, adakah anak saya stres sebab nak masuk tahun enam, tapi setelah saya melakukan kajian di Internet dan melihat simptomnya, saya mengesyaki anak saya menghidap penyakit narkolepsi.
|
“Saya merujuk kepada pakar neurologi kanak-kanak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras dan daripada simptom yang ditunjukkan, Melinda disahkan menghidap narkolepsi,” ujarnya yang tidak menyangka anak perempuannya itu mampu mendapat 7A. “Saya pernah kata kepadanya, tidak mengapa kalau tak dapat A tapi dia marah dan menyifatkan saya memandang rendah kepadanya,” kata Irene.
Menurut doktor yang dirujuk Irene, antara simptom narkolepsi ialah kerap tidur pada waktu siang iaitu purata setiap dua jam dan tidur malam yang diganggu mimpi ngeri.
Selain itu, otot tubuh juga menjadi lemah dan itu boleh dilihat pada rahang Melinda yang semakin renggang.
Presiden Masalah Tidur Malaysia (SDSM), Profesor Dr. Syed Hassan Ahmad mengakui penyakit ini jarang berlaku di negara ini. Perangkaan dalam kajian di luar negara pula menunjukkan kadar berlaku adalah di antara 0.02-0.16 peratus dalam kalangan orang dewasa. Dikatakan, penyakit ini lebih agak lazim berlaku di negara maju seperti Jepun.
Stanford School of Medicine di California melaporkan setiap seorang daripada 2,000 rakyat Amerika menghidap narkolepsi. Namun, penyakit ini lebih kerap menyerang golongan yang lebih muda seperti remaja.
Gangguan Menurut Syed Hassan, narkolepsi adalah salah satu daripada pelbagai gangguan tidur. Individu yang mengalaminya tidak terdaya menahan rasa mengantuk dan mereka akan terus tertidur di mana saja tanpa mengira apa yang sedang mereka lakukan.
Ia boleh terjadi secara tiba-tiba sama ada semasa makan, bercakap, menulis atau berdiri. Apabila berlaku, individu terlibat akan rebah secara mengejut kerana kuasa otot-otot tidak berkesan. Selepas tertidur, mereka akan sedar semula seperti biasa.
“Dalam masa serangan, pesakit boleh mengalami persepsi luar biasa seperti halusinasi. Tetapi ia bukan penyakit sawan atau gangguan minda,” katanya. Beliau yang tidak pernah berjumpa dengan pesakit seperti itu memberitahu, penyakit ini biasanya lebih kerap dirujuk kepada pakar neurologi. Katanya, penyakit ini ada kaitan dengan kekurangan neurotransmiter hipokretin iaitu sejenis kimia dalam otak yang ada hubung kait dengan sistem saraf. Tambahnya, rawatan dengan ubat-ubatan modafinil mungkin dapat membantu mengawal simptom penyakit itu.
sumber: kosmo!
P/s: dlu masa sekolah menengah..masa subjek add math..start je cikgu bukak mulot..maka semua kepala student akan landing atas meja...rupenye kami semua kene gejala 'narkolepsi sementara'...ahahahha...
No comments:
Post a Comment